Header Ads

Lee Chong Wei Juara Terbuka Yonex Sunrise India 2013

Lee Chong Wei
Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menebus kekecewaan dalam final tahun lalu, apabila merampas gelaran Yonex Sunrise Terbuka India 2013 di sini Ahad.

Chong Wei, yang juga pilihan utama kejohanan, menyekat kebangkitan pemain muda Jepun Kenichi Tago, 23, pada set kedua sebelum memastikan kemenangan dengan keputusan 21-15, 18-21, 21-17 pada pertarungan selama 63 minit itu.



Chong Wei menjuarai kejohanan itu pada 2011 tetapi gagal mengulangi pencapaian itu pada edisi tahun lepas apabila kalah kepada pemain Korea Selatan Shon Wan Ho di final.

"Saya selalu kalah set kedua...ini adalah perlawanan sengit tetapi gembira dengan persembahan saya," kata Chong Wei yang menghadiahkan kemenangan itu kepada anak lelakinya yang baru lahir, Kingston Lee.

Ditanya sama ada beliau akan menyertai Grand Prix Emas Terbuka Malaysia di Kuala Lumpur bermula Selasa ini, pemain berusia 30 tahun itu berkata kejohanan itu adalah terlalu dekat.

"Saya harap dapat berehat...tetapi ia di halaman sendiri dan pasti jangkaan peminat untuk melihat saya beraksi. Bagaimanapun, akan bincang dengan jurulatih terlebih dahulu," katanya.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain muda Thailand, Intanon Ratchanok, 18, muncul juara apabila mengejutkan pemain nombor empat dunia, Juliana Schenk, 30, dari Jerman 22-20, 21-14 dalam masa 45 minit.

Dalam acara beregu lelaki, pilihan kelapan, Liu Xiaolong/Qiu Zihan dari China mengatasi pilihan ketiga, Ko Sung Hyun/Lee Yong Dae dari Korea Selatan dengan 22-20, 21-18 pada saingan selama 43 minit.

Acara beregu wanita dimenangi oleh gandingan Jepun, Maeda Miyuki/Satoko Suetsuna apabila bangkit semula selepas set pertama untuk menewaskan beregu Denmark, Christinna Pedersen/Kamilla Ryfter Juhl dengan keputusan 12-21, 23-21, 21-18.

Beregu campuran Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir dari Indonesia hanya memerlukan masa 33 minit untuk mempertahankan gelaran apabila mengalahkan pasangan Korea Selatan, Ko Sung Hyun/Kim Ha Na dengan 21-16, 21-13.

Sumber Berita - BERNAMA
Powered by Blogger.