Header Ads

Lion XII Juarai Liga Super 2013

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Pasukan jemputan dari Singapura, Lions XII FC mencipta sejarah menjadi kelab luar pertama menjulang Piala Liga Super sejak kejohanan itu diperkenal pada 2004.

Kemenangan selesa 4-0 yang dicatat ke atas Felda United FC di Stadium Jalan Besar, Singapura Selasa malam membolehkan mereka mengumpul 43 mata, berkelebihan empat mata ke atas pencabar terdekat, Johor Darul Takzim (Johor DT), dengan baki satu perlawanan.

Pada perlawanan di Singapura itu, Azrul Ahmad menghadiahkan gol pertama untuk pasukan tuan rumah selepas beliau menanduk masuk sepakan percuma Kapten Lions XII FC Shahril Ishak ke dalam gol sendiri pada minit ke-47.

Shahril menggandakan kedudukan untuk pasukan itu pada minit ke-57 selepas menolak mudah hantaran silang Faris Ramli sebelum Fazrul Nawaz dan pemain gantian Shahfiq Ghani melengkapkan kemenangan selesa untuk skuad bimbingan V. Sundramoorthy menerusi gol masing-masing pada minit ke-61 dan 83.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menyerahkan Piala Liga Super kepada Shahril selepas perlawanan itu berakhir pada majlis yang turut dihadiri Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura Zainuddin Nordin dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia yang baharu Datuk Hamidin Mohd Amin.

FAM dan FAS menandatangani perjanjian persefahaman pada 2011, yang antara lain menggariskan skuad Harimau Muda akan bersaing dalam Liga Singapura sementara pasukan Young Lions dari Singapura akan beraksi dalam liga elit Malaysia, iaitu Liga Super bermula musim 2012 sehingga 2016.

Johor DT pula semakin menghampiri slot beraksi dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan selepas mengalahkan pasukan tercorot liga Negeri Sembilan menerusi kemenangan 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban hasil jaringan Jasazrin Jamaluddin pada minit ke-25 dan Mohd Nurul Azwan Roya pada minit ke-69.

Selangor turut mengutip tiga mata penuh selepas mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas wakil kelab Terengganu T-Team pada aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam.

Empat gol skuad Gergasi Merah dijaringkan Mohd Amri Yahyah pada minit ke-11 dan 69, Mohd Nasriq Baharom pada minit ke-72 serta Francis Forkey Doe pada minit ke-83 manakala Latiff Suhaimi menyumbang gol tunggal untuk T-Team pada minit ke-21.

Juara Piala FA musim ini, Kelantan turut mengekalkan rentak kemenangan selepas mengalahkan Perak 1-0 di Stadium Perak, Ipoh hasil jaringan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-80.

Di Stadium Darul Makmur, Pahang turut mencatat kemenangan apabila menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1.

Dua gol skuad Tok Gajah dijaringkan penyerang import dari Argentina Matias Ruben Conti pada minit ke-78 dan R.Gopinathan pada minit ke-88 manakala Mohd Shukor Adan menjaringkan gol sagu hati untuk ATM di masa kecederaan separuh masa kedua.

Pertemuan antara Terengganu dan Selangor PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Saingan Liga Super musim ini bakal menutup tirai dengan perlawanan terakhir Sabtu ini (6 Julai).

-- BERNAMA

Powered by Blogger.