Kekalahan Memalukan Skuad Sepaktakraw Sukan Sea Malaysia

Mahsul Sejahtera
0
Foto: Kosmo Online
Kekalahan memalukan skuad sepak takraw negara dalam acara berpasukan Sukan SEA ke-27 bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ia sudah diduga, demikian reaksi Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin. Khairy berkata beliau langsung tidak terkejut apabila skuad bimbingan Jamaluddin Hassan itu menampilkan aksi buruk dan gagal mencatat sebarang kemenangan dalam acara berkenaan.

"Saya dah agak ia akan berlaku...," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pingat emas kepada atlet karate negara, Lim Chee Wei di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, di sini hari ini.

Selepas tewas 0-3 kepada Thailand dan 1-2 kepada Myanmar semalam, skuad negara dipalit aib sekali lagi apabila tumpas kepada Indonesia 1-2 hari ini, sekali gus menyaksikan mereka menghuni tangga tercorot dalam kalangan empat pasukan yang bertanding acara itu.

Sepatutnya, skuad negara buat pertama kali pulang tanpa pingat dalam acara berpasukan pada temasya tersebut namun bernasib baik atas 'ihsan' penganjur yang menghadiahkan gangsa kepada pasukan di tempat ketiga dan keempat.

Mengulas lanjut, Khairy berkata kekalahan mengaibkan itu disebabkan kegagalan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) merangka program pembangunan rapi di samping menganjur banyak kejohanan tempatan.

Khairy berkata beliau tidak mahu mengeruhkan keadaan dan menuding jari kepada PSM atas kegagalan itu, sebaliknya bersedia membantu persatuan berkenaan membangunkan sukan berkenaan.

"Bulan Januari ini, saya akan jumpa (dengan PSM)...kena duduk semeja berbincang hala tuju sepak takraw.

"Kekalahan di sini (Myanmar) memang memalukan tetapi semasa kita (Malaysia) jadi tuan rumah pada 2017, kalau kalah lagi memalukan. Jadi saya tetapkan 2017 kita perlu pastikan skuad sepak takraw negara jadi juara," katanya.

-- BERNAMA

Post a Comment

0Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
Post a Comment (0)
To Top